Hadith

Saturday, November 15, 2008

Hina guru tadika Kemas.

Sumber : www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang melabelkan guru tabika Kemas sebagai 'golongan mak cik-mak cik' merupakan satu penghinaan terhadap profesion tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kenyataan itu juga mencerminkan Zuraida sebagai wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab sehingga tergamak mengguris hati guru-guru tabika tersebut yang selama ini banyak berjasa.

''Saya berasa dukacita dengan kenyataan Ahli Parlimen Ampang itu yang melabelkan guru tabika Kemas sebagai mak cik, perbuatan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah satu penghinaan dan dibuat secara melulu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin pada persidangan Dewan Rakyat, Zuraida (PKR-Ampang) melabelkan guru tabika Kemas sebagai golongan mak cik-mak cik yang ketinggalan zaman dan tidak berkualiti.

Zuraida berkata, 'mak cik-mak cik' itu masih mengajar 'angan-angan Mat Jenin' dan 'ketuanan berkeris' kepada kanak-kanak yang mendapat didikan awal di tabika Kemas.

Menurut Muhammad, kenyataan Zuraida itu juga mencerminkan beliau seorang yang cetek pengetahuan mengenai peranan Kemas yang telah banyak berjasa kepada rakyat khususnya bagi penduduk di luar bandar.

Jelas beliau, kenyataan Zuraida itu hanya disokong oleh satu kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dibuat pada 2001 sedangkan Kemas sudah melalui pelbagai penambahbaikan selepas tempoh berkenaan.

''Daripada jumlah 8,364 orang guru Tabika Kemas di seluruh negara, hanya 942 orang (12 peratus) sahaja yang berumur lebih 50 tahun sedangkan 7,562 orang (88 peratus) berusia antara 21 hingga 50 tahun,'' katanya.

Beliau memberitahu, sebahagian besar daripada tenaga pendidikan tabika kemas terdiri daripada lulusan diploma dan lulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, pihaknya juga kini sedang melakukan penambahbaikan kelayakan dan profesionalisme guru tabika Kemas dengan menghantar 2,000 orang pendidik mengikuti kursus Diploma Perguruan Malaysia.

Muhammad turut menegaskan, kurikulum di tabika Kemas bukan kurikulum angan-angan Mat Jenin kerana ia digubal oleh sukarelawan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, sehingga Mei 2008, seramai 5,852 bekas pelajar tabika Kemas dikesan berjaya dalam kerjaya mereka sebagai doktor (129), jurutera (227), pensyarah dan guru (1,588) manakala baki selebihnya berjaya menjawat jawatan penting seperti arkitek, akauntan, wartawan, pakar forensik dan diplomat.

''Martabat guru-guru Kemas tidak sepatutnya dipandang rendah, sebaliknya pengorbanan mereka mendidik anak-anak sewajarnya dihormati dan bukannya dihina,'' tegasnya.

2 comments:

Cheedah said...

Diorang tu mmg suka kan ckp ikut sedap mulut...xpa..what goes around comes around...

Anonymous said...

ini satu penghinaan terhadap profession mamaku...
waaaaargh!